Demam kerap dialami oleh kita dan anak-anak kita. Bagi bayi demam seakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Iyalah tumbuh gigi demam, mahu...
Demam kerap dialami oleh kita dan anak-anak kita. Bagi bayi demam seakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Iyalah tumbuh gigi demam, mahu berjalan demam, kena cucuk demam, dan kadang-kadang jangkitan daripada orang sekeliling juga penyebab demam kerana sistem imun bayi yang masih rendah menyebabkan mereka mudah terkena jangkitan penyakit.
Demam itu sendiri bukanlah penyakit tetapi simptom (petanda) kepada sesuatu penyakit atau jangkitan kuman hasil tindak balas semula jadi badan mempertahankan diri. Maka, secara dasarnya, demam, seperti juga cirit-birit, adalah salah satu bentuk pertahanan badan terhadap jangkitan kuman atau toksin.
Pakar Perunding Perubatan dan Kardiologi Hospital Pakar Putra Melaka, Datuk Dr. Nor Izham Aziz menjelaskan ciri asas demam adalah peningkatan (sementara) suhu badan melebihi 37°C, mengikut gred tertentu.
“Biasanya, suhu demam adalah antara 38 hingga 40°C, dengan suhu antara 38 dan 39°C dikira sebagai demam gred rendah dan suhu melebihi 39°C sebagai gred tinggi.
“Ubat mungkin perlu diberikan kepada pesakit jika suhu badan melebihi 40°C yang mungkin membahayakan nyawa pesakit,” katanya.
Menurut beliau, suhu demam yang terlalu tinggi atau melebihi 41°C boleh membawa maut kerana enzim di dalam badan tidak boleh berfungsi pada suhu terlalu tinggi.
Dalam membezakan antara demam biasa atau yang berbahaya, Dr. Nor Izham menegaskan tempoh seseorang itu demam lebih penting daripada suhu badan ketika demam.
“Demam biasa cuma bertahan selama beberapa hari. Sebagai contoh, demam akibat jangkitan virus dengan suhu melebihi 40°C selama dua atau tiga hari tidak bahaya.
“Demam melebihi satu minggu pula mungkin berbahaya sementara demam melebihi 14 hari mungkin petanda masalah lebih serius dan berisiko membawa mudarat kepada pesakit,” jelasnya.
Beliau memaklumkan bahawa, jika pesakit mengalami demam kronik yang berpanjangan sehingga berbulan-bulan lamanya, ia mungkin petanda kepada penyakit lebih teruk seperti jangkitan pada jantung (endocarditis), kanser, penyakit sistem imuniti, tibi atau demam kepialu. Demam juga dikatakan menjadi antara tindak balas semula jadi badan menentang sel kanser terutamanya bagi kes kanser buah pinggang, leukemia dan limfoma.
Dr. Nor Izham turut menegaskan demam berbeza dengan hyperthermia (strok haba) yang menyebabkan peningkatan suhu badan akibat suhu persekitaran luar terlalu panas.
“Dalam kes hyperthermia, sumber haba datang dari luar, badan akan kekurangan air dan pesakit akhirnya mungkin maut akibat dehidrasi atau suhu terlalu tinggi untuk enzim badan berfungsi,” jelasnya.
MENGURANGKAN SUHU BADAN AKIBAT DEMAM DENGAN IKHTIAR DAUN BIDARA
Ibubapa sering mencari alternatif bagi merawat demam. Antara kaedah yang boleh diguna pakai adalah menggunakan daun bidara sebagai ikhtiar menurunkan suhu badan.
Kandungan antibakterial yang terdapat di dalam daun bidara terbukti berkesan menurunkan demam yang anda atau anak kecil hadapi.
Cara perubatan menurunkan suhu panas akibat demam dengan ikhtiar Daun Bidara
- Anda boleh rebus daun bidara (boleh diambil dalam bilangan ganjil), atau membuatnya menjadi sayur, atau membuatnya menjadi jus.
- Selain itu boleh juga dibuat masker untuk ditampal di dahi. Caranya ambil daun bidara muda yang masih segar sekitar 1 genggam dan kunyit dalam 1 ibu jari. Tumbuk kedua bahan tersebut hingga halus dan tempelkan pada dahi anak anda.
- Cara ketiga adalah dengan mengambil beberapa helai daun bidara (seeloknya dalam bilangan ganjil) lalu dibuat mandian dengan daun tersebut.
COMMENTS